16 Januari 2026 – Sains Bandar Berdaya Tahan: Prof. Joy Terajui Penilaian di Oslo, Norway

16 Januari 2026 – Selama 5 hari bermula 12 hingga 16 Januari 2026, Oslo, Norway telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Penulis Utama Ke-3 bagi Laporan Khas Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) Mengenai Perubahan Iklim dan Bandar (SRCities). Dianjurkan oleh kerajaan Norway, acara ini menghimpunkan lebih 100 saintis terkemuka dari 56 negara bagi memperhalusi Draf Peringkat Kedua (SOD). Selaku Pengerusi Bersama, Kumpulan Kerja III IPCC, Prof. Dr. Joy Jacqueline Pereira memegang peranan kritikal membimbing pasukan penulis. Beliau memastikan lebih 32,000 komen yang diterima daripada pakar seluruh dunia diteliti dan disemak balas dengan rapi demi integriti proses penilaian saintifik tersebut.

Impak mesyuarat ini amat besar. Laporan yang dijangka terbit pada Mac 2027 ini bakal menjadi kompas utama penggubal dasar global. Ia akan membekalkan sains terkini mengenai risiko, adaptasi dan mitigasi, seterusnya melakar hala tuju pembentukan bandar mampan dan berdaya tahan iklim di masa hadapan.

Disediakan oleh Puteri Amirah Nabilah Azman
16 Januari 2026